Program Ihya’ Ramadhan diteruskan dengan Wacana Ramadhan selepas Solat Zuhur. Pada kali ini telah diambil peranan oleh Dr Abdul Kareem Abulkhaer, Pensyarah di Fakulti Pengajian Islam, Universiti Antarabangsa Al-Madinah (MEDIU). Beliau telah mengupas intipati yang terdapat pada surah Al-Hujurat dari akspek pembentukan akhlak dan peribadi yang mulia. Akhlak yang ditampilkan melalui mengajaran pada surah ini merupakan sifat untuk memelihara hubungan seseorang hamba dengan Allah Subhanahu Wataala dan hubungan sesama makhluk yang secara tidak langsung merupakan pemangkin bagi membentuk keharmonian sejagat.
Perkara pertama yang disentuh ialah berkaitan arahan Allah subhanahu wataala supaya dijauhi dari sifat menghina atau mencemuh berdasarkan firmannya:
قال تعالى: يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لا يَسْخَرْ قَوْمٌ مِّن قَوْمٍ عَسَى أَن يَكُونُوا خَيْرًا مِّنْهُمْ وَلا نِسَاء مِّن نِّسَاء عَسَى أَن يَكُنَّ خَيْرًا مِّنْهُنَّ وَلا تَلْمِزُوا أَنفُسَكُمْ وَلا تَنَابَزُوا بِالأَلْقَابِ بِئْسَ الاِسْمُ الْفُسُوقُ بَعْدَ الإِيمَانِ وَمَن لَّمْ يَتُبْ فَأُولَئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ.
Bermaksud : “Wahai Orang-Orang Beriman! Janganlah suatu kaum menghina kaum yang lain, kemungkinan kaum yang dihina itu adalah lebih mulia dari yang menghina, janganlah kaum wanita menghina kaum wanita yang lain, kemungkinan kaum wanita yang dihina itu lebih mulia dari yang menghina. Janganlah mencela sesama kamu dan jangan memanggil dengan panggilan yang tidak baik. Sesiapa yang tidak bertaubat sesungguhnya mereka itu merupakan orang-orang yang zalim”.
Seterusnya penceramah meneruskan lagi dengan sifat yang mesti dijauhi kerana sifat-sifat tersebut sangat buruk yang boleh merosakkan iman seseorang dan mampu memecah belahkan perpaduan di kalangan masyarakat. Perintah Allah supaya wajib menjauhi sifat berperasangka atau buruk sangka seperti mana firmannya:
قال تعالى: يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اجْتَنِبُوا كَثِيرًا مِّنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ إِثْمٌ وَلا تَجَسَّسُوا وَلا يَغْتَب بَّعْضُكُم بَعْضًا أَيُحِبُّ أَحَدُكُمْ أَن يَأْكُلَ لَحْمَ أَخِيهِ مَيْتًا فَكَرِهْتُمُوهُ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ تَوَّابٌ رَّحِيمٌ
Maksudnya : Wahai Orang-Orang Beriman! Jauhilah kebanyakan dari perasangka kerana sebahagian daripada perasangka merupakan dosa. Janganlah mengintai-intai (cari kesalahan orang lain) dan mengumpat sesama kamu.Sukakah diantara kamu memakan daging saudaranya yang telah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik. Bertakwalah kepada Allah, Sesungguhnya dia maha pengampun lagi maha penyayang”.
Pada akhir tadzkirah Ramadhan pada kali ini ialah bacaan doa oleh Dr Abdul Kareem Abulkhaer