fbpx

Mesyuarat Berhubung Isu Pengajian Pelajar Malaysia di Mesir

Mesyuarat ini  telah diadakan pada 6 September 2013 bertempat di Dewan Ibn Hazim, Jabatan Pengajian Tinggi di Putrajaya, bertujuan bagi membincangkan beberapa perkara sebagai inisiatif untuk membantu dan mencipta pelatform terbaik kepada pelajar-pelajar Malaysia Di Mesir yang telah dibawa pulang ke Tanah air dengan jumlah mencatat sehingga kini ialah 2,700 pelajar ekoran daripada pergolakan yang meruncing di Negara Timur Tengah itu.

Mesyuarat anjuran Education Malaysia, Jabatan Pengajian Tinggi, Kementerian Pendidikan Malaysia ini disertai oleh Al-Madinah International University (MEDIU) bersama beberapa Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Institusi Pengajian Tinggi swasta yang lain dengan dipengerusikan oleh Tuan Hj Ibrahim Bin Ali, Pengarah Bahagian Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar, Jabatan Pengajian Tinggi.

Dalam pembentangan yang telah dikemukakan oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif  MEDIU, Prof. Madya Dr  Wan Mat Hj Sulaiman telah menyatakan Tentang  kesediaan  MEDIU  untuk menempatkan pelajar-pelajar Universiti Al-Azhar Mesir bagi menyambung pengajian mereka. Beliau juga telah menyatakan bahawa  lebih 90% modul pengajian yang diguna pakai di MEDIU bagi bidang pengajian Islam dan Bahasa Arab telah diambil daripada Universiti Al-Azhar. Manakalah sebahagian besar pensyarah pula adalah berasal daripada Negara Timur Tengah dan Asia Barat yang menggunakan Bahasa Arab sebagai bahasa perantaraan yang terdiri daripada lepasan pengajian peringkat Ph.D Universiti Al-Azhar, Universiti Islam Madinah, Universiti Islam Jordan, universiti tempatan dan beberapa universi terkemuka yang lain.

Tawaran pengajian yang disediakan oleh MEDIU kepada pelajar-pelajar daripada Universiti Al-azhar, Mesir ini adalah tidak ada had yang ditetapkan jumlahnya bagi  pengajian secara e-pembelajaran (online learning), manakala 600 pelajar disediakan bagi pengajian secara konvensional (conventional learning) di bilik kuliah yang serba lengkap dengan kualiti pendidikan bertaraf antarabangsa yang berpusat di  Shah Alam, Selangor.

Prof. Madya Dr  Wan Mat sekali lagi memberi pengharapan bahawa agenda ini akan memberi banyak manfaat kepada pelajar-pelajar Malaysia daripada Universiti Al-Azhar yang menerima musibah daripada pergaduhan yang membawa kepada tercetusnya  perang saudara yang melanda negara Mesir sehingga kini.

 

Beliau juga menyatakan bahawa MEDIU merasa amat berbesar hati di atas  kepercayaan yang telah diberikan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia dalam usaha Menangani perkara ini. ”Ucapan terima kasih kepada Kementerian Pendidikan Malaysia di atas kepercayaan terhadap Al-Madinah International University, dan kami akan menggunakan  peluang ini untuk kami menabur bakti terhadap warga tempatan yang terdiri daripada pelajar Universiti Al-Azhar bagi  memastikan mereka mencapai cita-cita yang disemai seterusnya menjadi warga yang berjasa kepada agama  bangsa, dan negara.” ujar Prof. Madya Dr  Wan Mat Hj Sulaiman