Seramai Enam Belas Orang Siswa Universiti Antarabangsa Al-Madinah (MEDIU) telah menyertai program 1Malaysia Entrepreneurs (1MET) Bootcamp di Putrajaya yang telah diadakan pada 10.10.2015 dan 11.10.2015. Kursus Usahawan dibawah program 1Malaysia Entrepreneurs (1MET) Bootcamp ini adalah anjuran Kementerian Kewangan Malaysia yang telah diadakan selama dua hari bertempat di Dewan Utama, Kementerian Kewangan Malaysia, Putrajaya .
1Malaysia Entrepreneurs (1MeT) merupakan satu program pengukuhan keusahawanan di Malaysia yang dilaksanakan melalui kolaborasi kreatif di kalangan Kementerian/Jabatan/Agensi Kerajaan yang berkaitan. 1MET juga merupakan inisiatif di bawah program Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) dalam usaha Malaysia mencapai status negara maju dan sejahtera serta usaha menjadikan Malaysia sebuah Negara berpendapatan tinggi dan rakyat sejahtera tanpa dibebani masalah pengangguran, kadar cukai yang tinggi, kuasa membeli yang rendah, kemiskinan atau masalah keselamatan.
Matlamat utama 1Malaysia Entrepreneurs (1MeT) ialah:
- memberi peluang kepada rakyat Malaysia dari pelbagai lapisan masyarakat untuk memulakan dan mengembangkan perniagaan sehingga berjaya .
- untuk menyelaraskan semua program keusahawanan sedia ada yang dilaksanakan oleh pelbagai agensi kerajaan dan swasta secara bersepadu supaya lebih berkesan; dan
- untuk mewujudkan jaringan perniagaan yang lebih luas dan persaingan yang sihat di kalangan para usahawan dalam mengendalikan perniagaan mereka.