Universiti Antarabangsa Al-Madinah (MEDIU) telah menerima kunjungan delegasi dari Jabatan Syariah dan Undang-Undang, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM) pada hari Isnin, 5 Januari 2016 . Delegasi dari Universiti Malaya itu adalah terdiri daripada Prof. Madya Dr. Mashitoh Binti Mahamood, Dr. Asmak Binti Ab. Rahman, En. Azizi Bin Che Seman, Dr. Nor ‘Azzah Binti Kamri dan Cik Nor Liana Binti Abdul Munim.
Para tetamu telah diberi penghormatan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MEDIU Prof. Dr. Muhammad Khalifa Al-Tamimi, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Bahagian Penyelididkan dan Pembangunan, Prof. Madya Dr Ab Rahim Ismail dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Prof. Dr. Hj. Wan Sulaiman BinYusoff dengan diiringi Pengurus Bahagian Pentadbiran, En Fuad Ahmad Al As dan Dekan Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan Dr. Seiko Tourie, serta beberapa orang kakitangan di Jabatan Perhubungan Awam.
Tujuan lawatan ini adalah untuk hubungan diantara dua hala dan perkongsian pengalaman yang menjurus ke arah pembangunan dalam sektor waqaf. Ketua Pegawai Eksekutif MEDIU, Prof. Dr. Muhammad Khalifa Al-Tamimi amat mengalu-alukan kunjungan tersebut dan menyatakan rasa kegembiraan dan harapan untuk hubungan yang lebih erat dan kerjasama diantara dua hala.
Seterusnya delegasi yang mewakili Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya ini telah diberi penerangan berkenaan sistem pengajian yang diguna pakai di MEDIU, berhubung perkembangan kursus yang telah ditawarkan di MEDIU yang telah memperolehi akraditasi dari Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan perkembangan kampus baharu MEDIU yang kini dalam usaha melengkapkan bangunan yang terletak di Seksyen U1, Shah Alam. Pada sesi taklimat tersebut telah didedahkan berhubung perkembangan terbaharu MEDIU yang telah berjaya memberikan perkhidmatan kepada pelajar-pelajar daripada 90 buah negara dengan tawaran pengajian yang merangkumi 70 kursus melalui Fakulti Pengajian Islam, Fakulti Bahasa, Fakulti Pentadbiran Perniagaan, FakultiTeknologi Maklumat, Fakulti Pendidikan, Fakulti Kewangan dan Fakulti Kejurutaraan serta berkaitan sistem yang berjaya dihasilkan dan diguna pakai di MEDIU iaitu Sistem Pengurusan Kampus (CMS) dan E-Sistem Pengurusan Pembelajaran yang dikenali sebagai ‘Alim’.
“Saya mewakili delegasi dari UM amat gembira kerana pada hari ini telah memperolehi input yang amat baik dan bermanfaat terutama berkaitan institusi waqaf yang menjadi topik utama dalam pertemuan bersama Ketua Pegawai Eksekutif MEDIU dan Pensyarah di sini. Kami juga dapat melihat dengan sendiri suasana di kampus ini dengan maklumat yang terperinci dan lengkap. Ucapan terima kasih daripada kami dan semoga Allah menggandakan ganjaran pahala di atas usaha yang mulia ini ”, ujar Prof. Madya Dr. Mashitoh Mahamood selaku ketua delegasi.