Universiti Antarabangsa Al-Madinah (MEDIU) telah menyertai Persidangan Antarabangsa Hal Ehwal Wanita Kali ke-2, anjuran Fakulti Pengajian Islam dan Bahasa Arab (Fakulti Wanita) yang berlangsung di Universiti Al-Azhar, Kaherah di Mesir pada 18-19 Oktober 2016. MEDIU telah diwakili oleh Prof.Madya. Dr. Haji Wan Mat Haji Sulaiman, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Bahagian Hal Ehwal Akademik. Persidangan tersebut menjurus kepada tema “Wanita dan Pembangunan Pendidikan: Realiti dan Aspirasi” di bawah naungan Sheikh Al-Azhar, Sheikh Dr. Ahmed Muhammad Ahmed el-Tayeb.
Persidangan tersebut telah menarik sebilangan besar ulama dan penyelidik dari lebih 21 buah negara di seluruh dunia, yang bertujuan untuk menyediakan platform kepada peserta untuk memberi penekanan kepada peranan pembangunan wanita di dalam segala aspek khususnya bidang pendidikan, bagi menjana daya inovatif dan kreativiti intelektual para wanita serta peranan institusi media di dalam mewujudkan kesedaran kepada masyarakat di luar akan pembangunan wanita dalam dunia hari ini.








