fbpx

Artikel-MEDIU sedia kongsi kepakaran sistem ketika berdepan pandemik (Malaysia Gazette 8/12/2021)

Artikel-MEDIU sedia kongsi kepakaran sistem ketika berdepan pandemik (Malaysia Gazette 8/12/2021)

Pautan: https://malaysiagazette.com/2021/12/08/mediu-sedia-kongsi-kepakaran-sistem-ketika-berdepan-pandemik/

 

KUALA LUMPUR – Al-Madinah International University (MEDIU) sedia berkongsi pengalaman dan kepakarannya berjaya meneruskan operasi tanpa terjejas sepanjang pandemik Covid-19 dengan institusi pengajian tinggi (IPT) lain.

Ketua Eksekutifnya, Prof. Madya Dr. Fadlan Mohd Othman berkata, sebagai IPT swasta, MEDIU telah memiliki sistem pengajaran maya secara menyeluruh yang dibangunkan sendiri sejak penubuhannya pada 2007.

Jelas beliau, dikenali sebagai Sistem Pengurusan Kampus (CMS), ia merupakan sistem di mana ia tidak memerlukan pelajar datang kelas ke kampus malah mampu menyimpan data walaupun profil pendaftaran dimasukkan lebih 10 tahun lalu.

Menurutnya, ketika pelaksanaan pengajaran atas talian pada awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu, MEDIU tetap meneruskan operasi seperti biasa berbanding IPT lain agak kelam-kabut untuk menggunakannya ketika itu.

“Dengan CMS ini, MEDIU tidak terlalu terkesan dan jumlah kemasukan pelajar tidak jatuh merudum dan graf pelajar yang menurun hanya sedikit ketika pandemik.

“MEDIU juga tidak terlalu menerima kuat tekanan dan sebenarnya bila berlaku pelaksanaan PKP, konsep bekerja dari rumah itu telah menjimatkan lagi kos operasi universiti.

“Ini kerana pihak universiti dapat mengurangkan penggunakan elektrik sebagai mana contohnya hanya kepada satu bangunan beroperasi berbanding lima bangunan sebelum ini.

“Kami beruntung kerana CMS yang dibangunkan oleh peneraju MEDIU sebelum ini hanya menyebabkan kami tidak terkesan sangat dan mampu meneruskan pembelajaran atas talian seperti biasa yang diamalkan sebelum ini,” katanya ketika ditemubual MalaysiaGazette di sini hari ini.

“Sistem yang digunakan ini memang boleh menampung pembelajaran atas talian malah mampu memberi khidmat kepada IPT lain.

“Namun setakat ini sistem di MEDIU hanya menampung diri sendiri dan dalam proses melakukan penambahbaikan serta merancang untuk berkongsi bagaimana sistem ini dapat digunakan bukan sahaja IPT dalam negara malah di luar negara.

“Malah ketika ini MEDIU juga sedang membantu Universiti Taibah di Arab Saudi untuk membangunkan sistem pengajaran atas talian mereka,” katanya. – MalaysiaGazette