fbpx

Festival Antarabangsa Bahasa Arab MEDIU

Universiti Antarabangsa Al-Madinah (MEDIU) yang diwakili oleh Dekan Hal Ehwal Pelajar baru-baru ini telah menganjurkan aktiviti untuk Festival Antarabangsa Bahasa Arab secara maya pada hari Sabtu, 18 Disember 2021 sempena sambutan Hari Antarabangsa Bahasa Arab.

Festival tersebut terdiri daripada beberapa aktiviti iaitu Majlis Perasmian Festival, Pertandingan Bahasa Arab (Peringkat Sekolah Menengah) di Thailand, Seminar Dialog Antarabangsa dan Pertandingan Bahasa Arab (Peringkat Universiti).

Majlis perasmian itu telah disempurnakan oleh wakil Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Dunia Islam (ISESCO); Tuan Yang Terutama Prof. Dr. Magdi bin Haj Ibrahim dan Timbalan KE Hal Ehwal Pelajar MEDIU; Prof. Madya Dr. Doucoure Abdou Samadou. Ucapan pembukaan yang menyatakan tentang kepentingan bahasa Arab terletak pada keterikatannya yang kuat dengan ketetapan undang-undang dalam Islam khususnya di dalam Al-Quran dan Hadis; oleh itu, adalah perlu bagi umat Islam untuk memelihara bahasa, mempelajarinya dan mengajarnya kepada manusia.

Pertandingan Bahasa Arab Sekolah Menengah telah diadakan secara maya sejurus selepas perasmian festival untuk sekolah-sekolah menengah di Thailand. Sementara itu, Seminar Dialog Antarabangsa dihoskan oleh penceramah dari lima buah negara iaitu Malaysia, Thailand, Indonesia, Pakistan dan Bangladesh dengan topik ‘‘The Arabic Speakers in Non-Arab countries; Prospects and Aspirations to Serve the Nation’. Para penceramah berkongsi pengalaman dan kepakaran mereka di dalam pengajaran bahasa Arab di negara masing-masing.

Terakhir, empat universiti menyertai Pertandingan Bahasa Arab (Peringkat Universiti) secara maya pada hari Isnin, 20 Disember 2021 dengan Pasukan A dari Universiti Antarabangsa Al-Madinah (MEDIU) telah menjuarai pertandingan tersebut. Setiap universiti terdiri daripada dua pasukan untuk mengambil bahagian, dengan lima pusingan terdiri dari sepuluh soalan umum dan bidang pengkhususan bahasa di dalam setiap pusingan.