
Prof. Dr. Ab Rahim kini pakar rancang, bentuk sukatan kurikulum bahasa Arab peringkat sekolah, universiti
Pernah bercita-cita menjadi saintis kerana minat yang tebal dalam mata pelajaran Sains, malah keputusan mata pelajaran yang cemerlang dalam peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) mendorong beliau mengikuti aliran Sains sewaktui di Tingkatan Empat di Kolej Islam Klang, awal 1970-an. Namun, beliau yang merupakan anak kelahiran Pulau Rusa, Kuala Terengganu dipaksa mengambil kelas aliran Sastera yang menawarkan bahasa Arab berikutan turut cemerlang dalam mata pelajaran berkenaan. Beliau meneruskan pengajian dalam aliran Sastera dan lama kelamaan minta mendalami bahasa Arab timbul selepas terdedah kepada subjek itu dan akhirnya diumumkan sebagai pelajar terbaik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)dan membolehkan beliau ditawarkan biasiswa oleh Kementerian Pendidikan Kuwait untuk melanjutkan pengajian bahasa Arab di Universiti Kuwait.
Selepas tamat pengajian, beliau sempat menabur bakti di kampung halaman dan bertugas di Sekolah Menengah Agama Sultan Zainal Abidin dan antara institusi pendidikan yang beliau pernah berkhidmat adalah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Universiti Malaya (UM) dan Kolej Universiti Perguruan Agama Seri Begawan di Brunei. Menurutnya, bahasa Arab selain dikenali sebagai bahasa Al-Quran terkenal dengan keindahan gaya dan memiliki banyak keunggulan jika dibandingkan dengan bahasa lain; antara manfaatnya memudahkan kita memahami al-Quran dan hadis serta bacaan di dalam solat. Sebagai muslim, bahasa Arab wajar dipelajari terutama bagi mendalami agama Islam, kerana banyak kitab ditulis dalam bahasa Arab selain ulama juga banyak dari tanah Arab.
Kepakaran tinggi di dalam bahasa Arab membolehkan beliau dilantik sebagai penyelia dan pemeriksa dalaman serta luaran tesis pelajar di beberapa institusi pengajian tinggi dalam pengajian bahasa Arab. Kata beliau, kerja keras beliau di dalam bidang ini didorong oleh didikan dan asuhan agama yang cukup ketat oleh bapanya yang bekerja sebagai Imam dimana beliau sangat serius dan disiplin menggarap pendidikan agama di dalam kalangan anak-anaknya sejak kecil lagi dalam membentuk dirinya menjadi insan berguna.