fbpx

Keratan Akhbar-Ketua Eksekutif MEDIU: Wawasan bapa pedoman hidup (Harian Metro 4/3/2018)

Wawasan bapa pedoman hidup

Sejak kecil diterap kepentingan pendidikan, Prof. Dr. Ismawi kini dukung aspirasi pembangunan umat Islam berilmu.

Rencana KARISMA kali ini memaparkan kisah di sebalik kehidupan Ketua Eksekutif MEDIU, Prof. Emeritus Dr. Ismawi Zen yang dilahirkan di Kampung Gedong, daerah Simunjan di pedalaman Sarawak. Kampungnya pada sekitar 1960-an amat terpencil dan pengangkutan yang efektif adalah melalui sungai. Penduduk kampong dikatakan mengambil masa lima hari untuk tiba ke pusat bandar Kuching dengan menaiki bot.

Merupakan anak ketiga daripada tujuh beradik dan berasal daripada kelurga yang sangat susah sehingga anda mungkin tidak dapat membayangkan kesukaran yang ditempuhi sewaktu kecil, kata beliau. Zaman kanak-kanak adalah sesuatu yang sukar bagi Prof. Dr. Ismawi kerana terpaksa bekerja untuk mencari pendapatan tambahan kerana keadaan kesihatan bapa beliau yang tidak dapat bekerja mencari nafkah keluarga. Prof. Dr. Ismawi tidak sempat menatap wajah bapanya buat kali terakhir semasa berada berada di Tingkatan Dua, kerana perjalanan dari sekolah ke kampung mengambil masa hampir 10 jam menaiki bot dan beliau tiba selepas bapanya selamat dikebumikan.

Pada masa itu, saudara mara menyarankan beliau berhenti sekolah tetapi ibunya bertegas supaya meneruskan alam persekolahan kerana mahu melihat beliau berjaya dalam pelajaran. Serta, mahu melihat beliau mendapat pekerjaan yang baik dan mampu membawa keluarga keluar dari kepompong kemiskinan. Malah mengenangkan ketegasan bapa dalam pendidikan anak-anak juga membuatkan beliau tekad meneruskan persekolahan. “Bapa saya amat jelas wawasan hidupnya mengenai ilmu dan pencarian ilmu. Jika tidak kerana meneruskan hasratnya, saya mungkin tidak berada pada tahap sekarang.” katanya pada wartawan semasa temubual di MEDIU.

Prof. Dr. Ismawi pada akhir sesi temubual menyatakan, perubahan yang paling beliau dambakan adalah MEDIU dapat menyatukan umat Islam berteraskan ilmu, di samping menjadi pusat pembinaan minda. Kami juga berhasrat  menjadikan pendidikan sebagai persiapan sebaiknya untuk generasi muda uma Islam dan menjadikan Bahasa Arab sebagai bahasa Ilmu bagi mengembalikan kegemilangan bahasa ini sebagaimana zaman keagungan Islam di Eropah dahulu.