fbpx

Kuliah “Strategi Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Arab” oleh Dekan Fakulti Bahasa di UiTM Shah Alam

Prof. Madya Dr. Daud Quadir Elega, Dekan Fakulti Bahasa telah mewakili Universiti Al-Madinah Antarabangsa (MEDIU) dengan menyampaikan kuliah ringkas mengenai “Strategi Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Arab kepada Penutur Bukan Asli dan Cabarannya di Era Moden” pada hari Selasa, 15 November 2016 yang telah diadakan di Akademi Pengajian Bahasa (APB), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam, Selangor.

Beliau telah disambut oleh Dr. Nor Hayuza Mohamad, Ketua Pusat Pengajian Bahasa Arab dan wakil-wakil dari pihak akademi. Dr. Daud melahirkan rasa penghargaan di atas jemputan dari pihak APB atas dasar pertukaran pengalaman di dalam bidang pengajaran dan pembelajaran bahasa Arab, di mana beliau menegaskan bahawa kajian telah menunjukkan bahawa pada masa kini dapat dilihat semkain ramai yang mempelajari bahasa Arab untuk mendapatkan pemahaman yang lebih baik terhadap Al-Quran, As-Sunnah dan ilmu Islam.

Dalam sesi kuliah, Dr.Daud menjelaskan akan kemahiran asas bahasa yang perlu dikuasai di dalam bidang pengajaran dan pembelajaran bahasa asing sebagai bahasa kedua iaitu kemahiran mendengar, bertutur, membaca dan menulis serta mendalami unsur-unsur struktur bunyi bahasa dan perbendaharaan kata. Beliau menyatakan bahawa kebanyakan pelajar dari Asia Tenggara menunjukkan kesukaran untuk mempelajari bahasa asing dan ini boleh diatasi dengan memahami strategi di dalam proses aktiviti pendidikan. Antara perkembangan kemahiran bahasa yang boleh digunakan adalah dengan mendengar rakaman audio bacaan Al-Quran, Hadith, bacaan puisi dan ceramah, rakaman perbualan, sesi berdialog dengan mereka yang berkemahiran di dalam bahasa yang ingin dipelajari bagi menggilap dan membina kemahiran dalam pembelajaran asing bahasa.

Akademi Pengajian Bahasa (ALS) telah ditubuhkan pada tahun 1972 dengan tujuan menyelaraskan pembelajaran dan pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (ESL), dan juga di dalam bahasa Asia dan Eropah yang lain bagi semua pelajar universiti dengan wawasan menjadi sebuah akademi bertaraf antarabangsa dalam pengajaran, pembelajaran dan penyelidikan bahasa.