Universiti Antarabangsa Al-Madinah (MEDIU) yang diketuai oleh Prof. Madya. Dr. Ab Rahim Ismail, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Bahagian Hal Ehwal Akademik telah mengadakan lawatan rasmi ke Wawasan Open University (WOU) di Pulau Pinang pada hari Khamis, 3 Ogos 2017. Lawatan tersebut bertujuan bagi membangunkan hubungan dua hala antara kedua-dua universiti di dalam rangka kerja penyampaian program dalam talian dan pembangunan kualiti akademik.
Delegasi MEDIU telah disambut oleh Profesor Dato’ Dr. Ho Sinn Chye; Naib Canselor WOU dan Ketua Pegawai Eksekutif WOU; Dr. Liew Teik Kooi serta barisan kakitangan Jabatan Jaminan Kualiti dan Perhubungan Luar universiti. Manakala, perwakilan MEDIU diwakili oleh Dr. Bakare Kazeem Kayode, Dekan Jabatan Pembangunan dan Kualiti Universiti, Prof. Madya Dr. Norhayati Ahmad, Ketua Jabatan Pembangunan Akademik; Dr. Ruqiah Naji Esmail Al Duais, Eksekutif Jabatan Jaminan Kualiti Eksekutif Kanan; Encik Jafar Batiha, Ketua Jabatan Pentadbiran Akademik; En. Abdilahi Liban, Ketua Jabatan Pembangunan dan Latihan ; Encik Syazwan Khalis, Ketua Jabatan Peperiksaan dan Rekod serta Encik Abduloh Usof, Ketua Jabatan Perkhidmatan Korporat.
Antara bidang yang dibincangkan adalah bidang kerjasama diantara kedua-dua universiti di dalam aspek pengajaran dan jaminan kualiti dalam talian seperti persekitaran pembelajaran dalam talian (ODL), kerangka penyampaian program akademik dalam talian, penggunaan ‘turnitin’ untuk membendung plagiarisme, pengurusan masa, pembangunan kursus dalam talian terbuka secara besar-besaran (MOOC) dan pelaksanaan akreditasi pembelajaran pengalaman terdahulu (APEL). Kedua-dua pihak universiti juga membincangkan kemungkinan bidang kerjasama di dalam bidang latihan seperti penyeliaan, pemeriksa luar pemeriksa dan perkara-perkara pembangunan akademik yang lain antara kedua-dua pihak.