Al-Madinah International University (MEDIU) telah menganjurkan Majlis Penutupan Kelas Intensif Bahasa Arab dan Anugerah Biasiswa Pengajian kepada para peserta Da’i Program Nusantara pada hari Rabu, 27 September 2017 dan telah dirasmikan Prof. Dr. Ab. Rahim Ismail, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Akademik. Majlis tersebut turut dihadiri oleh Ustaz Roslan Mohamed selaku Tenaga Pengajar (Murabbi) Program Da’i, Penerbit Program; Encik Fadly Khamis,Krew Penerbitan dan Perserta Program Da’i,Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Bahagian Hal Ehwal Pelajar; Prof. Madya Wan Mat bin Sulaiman, para pelajar dan kakitangan universiti.
Majlis ini dianjurkan oleh Jabatan Pemasaran MEDIU dengan kerjasama krew dan penerbitan program Da’i dan para peserta, dimana kelas intensif telah dilaksanakan kepada para peserta Da’i bagi memantapkan kemahiran bahasa arab di dalam suasana tenaga pengajar Arab, di bawah kelolaan Fakulti Bahasa dan Pusat Bahasa serta aktiviti luar yang melibatkan pelajar dari Sekolah Menengah Agama Tinggi Ampuan Jamaah (SAMTAJ) Shah Alam sera Kolej Hafiz, Klang. Selain itu, pihak universiti juga memberi biasiswa pengajian kepada lima (5) peserta akhir bagi Program Da’i Pendakwah Nusantara yakni biasiswa penuh pengajian kepada DA’i Afiqah, DA’I Hakim dan DA’i Fahmi manakala DA’i Aiman dan DA’i Syafiqah diberikan biasiswa 50% pengajian.
Menurut Ketua Pemasaran MEDIU, En. Mohd Shahrin penajaan ini membawa penjenamaan dan nilai pemasaran yang hebat kepada MEDIU kerana program ini dilihat oleh lebih daripada 2 juta penonton di seluruh negara dan yang merupakan pasaran yang berpotensi untuk MEDIU kerana program ini disasarkan kepada anak-anak muda dengan memberi manfaat kepada nilai-nilai Islam.
Pengerusi Eksekutif TV3 (Program Islam), Encik Ruzmi Kamaruddin di dalam ucapannya merakam penghargaan kepada pihak universiti di dalam menyokong program Da’i serta memberi peluang penajaan pengajian kepada lima perserta terakhir program tersebut dan mengalu-alukan pihak universiti untuk memberi idea dan berkongsi pandangan mereka terhadap sebarang program Islam yang berpotensi yang memberi manfaat kepada negara.