fbpx

MEDIU Anjur Program Qurban Di Republik Chad

 

MEDIU telah menganjurkan Program Ibadah Qurban Di Republik Chad pada 10 – 13 Dzulhijjah 1437 Hijrah bersamaan 12 – 15 September 2016. Program ini merupakan agenda tahunan MEDIU bersama masyarakat antarabangsa, namun pada kali ini MEDIU telah memilih Republik Chad di atas faktor keperluan daripada penduduk negara Afrika Tengah ini. Program pertama dari negara Malaysia di Republik Chad ini merupakan anjuran bersama Majlis Hal Ehwal Islam Republik Chad dengan kerjasama dari Syarikat EZ Qurban Sdn. Bhd. dan Yayasan Mahabbah Malaysia.

Program ibadah qurban di bumi Chad ini telah diadakan di 25 lokasi berasingan di ibu negara Chad dan perkampungan di beberapa buah wilayah yang melibatkan Pusat Pendidikan Islam, Intitut Tahfiz Al Quran, penempatan pelarian dari negara luar, Pusat Kebajikan Balu-Balu Anggota Tentera, Pusat jagaan anak-anak yatim, Pusat Pembangunan Saudara Baharu dan penduduk setempat.

Menurut kenyataan Ketua Pengarah Majlis Hal Ehwal Islam Republik Chad, Dr. Hussain Hassan Abkar bahawa program ini amat bermakna bagi rakyat Chad kerana ia berbentuk sokongan berasaskan hubungan persaudaraan Islam yang pertama dari Malaysia. Beliau juga merakamkan jutaan terima kasih yang tidak terhingga kepada negara Malaysia, institusi yang terlibat dan seluruh rakyat Malaysia yang bersama membantu dan menjayakan program ibadah qurban di bumi Chad yang terkenal dengan nama jolokan ‘jantung mati afrika’ kerana kedudukannya di tengah padang pasir dan tidak ada penemuan dengan mana-mana persisiran pantai dan laut.

Mewakili MEDIU ialah En Jamaluddin Hussain, Ketua Jabatan Perhubungan Awam dan En Abdelaye Zakaria, Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar. Turut serta dari Syarikat EZ Qurban ialah Pengurusnya Hafeez Firdaus dan Pegawai Syariah, En Amir.