fbpx

MEDIU Santuni Anak-Anak Muhajirin Rohingya

MEDIU Santuni Anak-Anak Muhajirin Rohingya

Tanggal 25 Mac 2016 baru-baru ini, Universiti Antarabangsa Al-Madinah sekali lagi melakarkan sejarah bagi meneruskan usaha-usaha membantu golongan muhajirin Rohingya di Kuala Lumpur. Satu pasukan yang terdiri daripada pelajar dan kakitangan MEDIU telah melangsungkan kerja amal dengan menghantar dan mengagihkan pakaian, makanan dan wang perbelanjangan kepada anak-anak rohingya dan pusat penempatan dan pendidikan mereka yang terletak berhampiran ibu kota, Kuala Lumpur.

Misi Kemanusian MEDIU untuk Muhajiri Rohingya adalah satu program murni yang dianjurkan oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar MEDIU dengan hasrat untuk membantu Muhajirin Rohingya.

Pelancaran untuk misi kemanusian ini telah bermula pada 19.06.2015. dengan pengagihan pakaian harian , pakaian solat, selimut, bantal, alas tempat tidur, makanan kering, makanan dalam tin, kelengkapan peribadi, al quran dan alat tulis yang merupakan hasil keperihatinan warga MEDIU dan masyarakat setempat.

“Disamping menjalankan tangongjawab sosial universiti, program bantuan kemanusian ini juga sebagai menyahut seruan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang telah meminta badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan orang perseorangan untuk turut membantu kerajaan dalam usaha memberi bantuan kepada muhajirin (migran) Rohingya”. Ujar Puan Bibi Asma Sher Muhammad, Ketua Sekretariat Misi Kemanusian MEDIU untuk Muhajirin Rohingya.

Turut serta menganggotai Sekretariat bagi misi kemanusian pada kali ini ialah Presiden Majlis Perwakilan Pelajar MEDIU, Saudara Ahmad Syazwan Kamarul Ariffin dan barisan Exco MPP-MEDIU.

“Kami akan terus prihatin dengan nasib saudara seagama khususnya umat Islam rohingya, mereka terpaksa meninggalkan bumi sendiri demi mencari perlindungan untuk meneruskan kehidupan. Kami rasa amat berbangga kerana menganggotai misi kemanusian MEDIU yang telah mengambil inisiatif dengan membantu meringankan beban dan penderitaan yang ditanggung oleh Muhajirin Rohingya yang telah menjadi mangsa kezaliman ekstrimis penghapusan etnik dan Junta Tentera Myanmar. Mereka menjadi pelarian dari bumi sendiri, Mereka harungi kehidupan dengan penuh kepayahan dan penderitaan”. Ujar Ahmad Syazwan.