Ketua Pegawai Eksekutif Al-Madinah International University (MEDIU), Prof Emer. Dr. Ismawi Zen telah menghadiri Majlis Pelancaran Kitab Feqh Al-Hadith, Syarah Bulugh Al Maram oleh Menteri Pendidikan Malaysia, YB Dr Maszlee Malik pada hari Selasa, 3 Julai 2018 bertempat di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Kuala Lumpur.
Antara tetamu kehormat pada majlis tersebut ialah YBhg. SS Prof. Madya Dato’ Arif Perkasa Dr. Mohd Asri bin Zainul Abidin, Mufti Perlis dan YBhg. Dato’ Dr. Haji Abd Basit bin Hj. Abd Rahman, Pensyarah di Jabatan Syariah Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS), Kota Bharu, Kelantan.Turut hadir mengiringi Prof. Ismawi ialah Prof. Madya Dr. Usman Jakfar, Pengarah Pusat Pengajian Islam al-Madinah; Prof. Madya Dr. Shahri Abd Rahman, Dekan Fakulti Pendidikan; En Jamaluddin Hussain, Ketua Jabatan Perhubungan Awam dan dua mahasiswi MEDIU, Cik Siti Fatimah Abdul Rahim dan Cik Nur Syahira Mat Yasin.
Kitab yang dilancarkan oleh Menteri Pendidikan ini merupakan huraian kitab hadith ahkam yang terkenal, iaitu Bulugh al-Maram min Adillah al-Ahkam, karya al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani (m.852 H). Penulis telah mengemukakan 139 buah hadith dalam bab bersuci yang disusun secara sistematik dengan menggunakan bahasa yang mudah difahami. Setiap hadith mengandungi terjemahan yang lengkap dan boleh dijadikan panduan lengkap kepada umat Islam.


