[slideshow id=170]
12 September 2013 – Universiti Antarabangsa Al-Madinah (MEDIU) bersama Jabatan Pengajian Tinggi, Kementerian Pendidikan Malaysia telah mengambil peranan dalam usaha menempatkan para pelajar Malaysia yang telah dibawa pulang dari Mesir.
Program taklimat dan perjumpaan para pelajar Malaysia yang menuntut di Mesir bersama Institusi Pengajian TInggi dan badan-badan professional telah berjaya diadakan bagi memberi peluang kepada mereka untuk menyambung pengajian di dalam negara. Ini merupakan inisiatif kerajaan untuk membantu dan mencipta platform terbaik kepada pelajar-pelajar Malaysia di Mesir yang telah dibawa pulang ke tanah air, ekoran daripada pergolakan yang meruncing yang sedang dihadapi di negara Timur Tengah. Perjumpaan ini telah berjaya mengumpulkan 3,000 orang pelajar Malaysia yang masih menuntut di Mesir.
Sesi taklimat dan perjumpaan ini telah memberi peluang kepada para pelajar dan ibu bapa untuk mendapat maklumat lebih lanjut berkenaan kursus dan program yang ditawarkan oleh MEDIU. Mereka juga turut didedahkan dengan maklumat modul pengajian, bahasa Arab sebagai bahasa pengantaraan dan sedikit maklumat berkenaan kakitangan akademik dan pensyarah yang kebanyakannya adalah lulusan daripada universiti-universiti terkemuka daripada negara Timur Tengah dan Asia Barat.
Sebelum itu pada pada 6 September 2013, MEDIU telah dijemput oleh Jabatan Pengajian Tinggi untuk menghadiri satu mesyuarat khas bagi membincangkan isu pelajar-pelajar Mesir yang dibawa pulang ke Malaysia serta usaha mencari penyelesaian bagi menyediakan inisiatif yang terbaik kepada mereka. MEDIU telah diwakili oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Hal Ehwal Akademik; Prof. Madya Dr Hj. Wan Mat Hj Sulaiman. Beliau telah menyatakan kesediaan MEDIU untuk menempatkan seramai 600 orang pelajar Universiti Al-Azhar Mesir bagi menyambung pengajian mereka di MEDIU yang bertempat di Shah Alam, Selangor.