fbpx

Siswa MEDIU berlepas ke Makkah Wakili Malaysia Ke Pertandingan Hafizan Al-Quran Peringkat Antarabangsa

Siswa Universiti Antarabangsa Al-Madinah (MEDIU), Saudara Abdul Wafi Azzaki bin Sinwan telah dipilih bagi mewakili Malaysia di dalam Pertandingan Di Raja Abdul Aziz Bagi Hafazan dan Tafsiran Al-Quran Peringkat Antarabangsa  kali Ke-38 dari 18-30 Oktober 2016 di Makkah, Arab Saudi.

Keberangkatan beliau ke Arab Saudi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur  (KLIA) telah diraikan oleh Dekan Fakulti Bahasa, Prof. Madya Dr. Daud Abdul Quadir Elega dan Timbalannya, Prof. Madya Dr. Elsayed Mohamed Salem dengan kehadiran Presiden Majlis Perwakilan Pelajar MEDIU, Saudara Ahmad Syazwan Zainal Ariffin.

Saudara Abdul Wafi Azzaki sebelum ini telah memenangi tempat kedua pada Majlis Menghafaz Al-Quran Peringkat Kebangsaan Ke-37 Tahun 1437H/2016M yang telah  diadakan pada 16 hingga 20Februari 2016 bersamaan 07 hingga 11 Jamadil Awal 1437H bertempat di Pusat Konvensyen Amanjaya, Hotel Casuarina @ Meru, Ipoh, Perak. Majlis Penutup dan Pengurniaan Hadiah pertandingan tersebut telah disempurnakan oleh Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Nazrin Muizzudin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfullah, Yang di-Pertuan dan Raja Pemerintah bagi Jajahan Takluk Negeri Perak Darul Ridzuan. Dalam Pertandingan tersebut saudara Abdul Wafi Azzaki telah berjaya memperolehi tempat kedua bagi kategori tiga puluh juzuk Al-Quran.