fbpx

YAM Putera Saudi Berkenan Merasmikan Kampus Baharu MEDIU

YAM Putera Saudi Berkenan Merasmikan Kampus Baharu MEDIU

Y.A.M Putera Dr Bandar Bin Salman telah berkenan mencemar duli bagi merasmikan pembukaan kampus baharu Universiti Antarabangsa Al-Madinah yang terletak di Seksyen U1, Bandaraya Shah Alam pada 12 March 2016 baru-baru ini. Hadir sama ke majlis tersebut adalah beberapa orang delegasi terdiri daripada Imam Besar Masjid Nabawi Madinah, Sheikh Dr. Abdulbari Ath-Thubaity, beberapa wakil dari kedutaan dan juga Ahli majlis tertinggi Universiti itu.

Bangunan baru yang mempunyai sebanyak 14 tingkat ini turut mempunyai infrastuktur lengkap seperti ruang perpustakaan dan kelas pengajian yang kondusif, ruang auditorium serba guna, bilik mesyuarat, makmal komputer, ruang pejabat, dan kemudahan lain.

Selain itu,Universiti Antarabangsa Al-Madinah (MEDIU) yang baru sahaja menginjak usianya ke tujuh tahun telah mencapai beberapa perkembangan yang memberangsangkan. MEDIU pada waktu ini telah mempunyai seramai lebih daripada 3000 orang pelajar dari 80 buah negara dan pada masa yang sama juga MEDIU telah menawarkan lebih daripada 51 kursus akademik, menubuhkan beberapa pusat khidmat pembelajaran serta mempunyai lebih daripada 250 orang kakitangan tetap dan sukarelawan antarabangsa di seluruh dunia yang sebahagian besarnya berpusat di kampus yang terletak di Shah Alam.

MEDIU menjadi satu lagi wadah baru dan kontemporari bagi pengajian melalui pembelajaran secara maya (on line) dan konvensional (on campus) yang menawarkan peluang pengajian inovatif dalam bidang pengajian yang pelbagai. Kini, MEDIU menawarkan pengajian dari enam (6) fakulti pengajian dengan jumlah pelajar seramai 3,000 orang dari pelbagai negara.

Menerusi pendidikan komprehensif yang ditawarkan ini, pihak MEDIU merancang untuk membangunkan kampus universiti yang dapat menampung seramai 30,000 para pelajar pada tahun 2025 serta memperkenalkan fakulti pengajian yang baharu antaranya Fakulti Farmasi dan Fakulti Undang-Undang. MEDIU sedang berusaha untuk mewujudkan suasana pendidikan yang menggalakkan serta mengembangkan penyelidikan pelopor dan unik dengan matlamat menjadi salah satu institusi pendidikan tempatan bertaraf antarabangsa yang terulung.